Pada penghujung Januari dan sepanjang bulan Februari, sekolah-sekolah telah mula sibuk dengan berbagai program Sukan dan Permainan. Kebanyakan di sekolah menengah, Kejohanan Olahraga Tahunan biasanya di adakan selewat-lewatnya penghujung bulan Februari. Pelbagai aktiviti samada aktiviti dalam kategori sukan untuk semua atau sukan prestasi tinggi mula dilaksanakan seperti Sukantara, Merentas Desa, Kejohanan Olahraga, pertandingan beberapa jenis permainan dan sebagainya.
Apa yang penting dalam melaksanakan aktiviti tersebut, keselamatan pelajar menjadi keutamaan agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini dan menyebabkan niat asal untuk memberi peluang kepada semua pelajar terlibat dengan aktiviti Sukan dan Permainan dipertikaikan. Prosedur dan langkah-langkah keselamatan sememangnya selalu dititikberatkan disamping melaksanakan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Berbalik kepada sukan, sekarang ini sekolah-sekolah seperti terkejar-kejar dengan jadual padat yang disusun kerana perlu melaksanakan sukan khususnya olahraga seboleh-bolehnya sebelum Kejohanan Olahraga peringkat daerah dan negeri. Kadangkala ada setengah sekolah hanya berpeluang untuk membuat latihan 1-2 minggu sahaja untuk rumah pasukan bersedia sebelum terpaksa melaksanakan acara sukantara (seminggu), acara-acara sebelum sukan (seminggu) dan kejohanan olahraga sekolah (sebelum hujung bulan Februari) sebab kejohanan peringkat daerah pada minggu 1 atau 2 bulan Mac.
Berdasarkan fenomena ini adalah dirasakan pihak sekolah tidak dapat memilih dan menyediakan atlit olahraga untuk mewakili sekolah ke peringkat daerah. Ada kemungkinan pelajar-pelajar yang benar-benar berketrampilan tidak dapat dicungkil bakatnya dan mungkin tidak berpeluang mewakili sekolah. Kesannya pasukan daerah tidak dapat memilih atlit yang betul dan sudah semestinya pasukan negeri juga tidak dapat atlit seperi yang dikehendaki.
Kalau ini berterusan setiap tahun, sudah tentu boleh menjejaskan persiapan pasukan daerah atau negeri dalam kejohanan olahraga dan akhirnya sudah tentu negara juga tidak dapat melahirkan atlit yang benar-benar berketrampilan sehingga ke peringkat antarabangsa. Oleh itu apa usaha kita? Adakah kita masih lagi terus akur dengan fenomena seperti di atas atau perlu ada usaha-usaha lain atau memerlukan kajian yang dapat mengatasi masalah yang selalu dihadapi oleh sekolah diperingkat akar umbi lagi?
Majulah Sukan Untuk Negera. Bersama Bergerak Ke arah Merealisasikan Satu Pingat Emas Satu Daerah dalam Kejohanan Olahraga MSSM 2010.