Disiplin Oh! Disiplin

Persekolahan untuk sesi tahun 2010 baru 3 minggu berlalu, telah berlaku pelbagai program, aktiviti. Tidak terkecuali masalah yang selalu berbangkit iaitu masalah disiplin. Telah mula penyakit lama iaitu ponteng sekolah atau ponteng kelas di kalangan pelajar. Ada juga kes-kes yang melibatkan keselamatan dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum sekolah.
Telah kedengaran kes pelajar bergaduh, berjudi, pergaduhan melibatkan senjata larangan, membawa senjata ke sekolah dan pelbagai kes lagi yang selalunya memeningkan pentadbiran sekolah khususnya Guru Disiplin. Walau pun dalam pekeliling ikhtisas ada menyebutkan semua guru adalah guru disiplin tetapi selalunya guru-guru yang menganggotai Unit Disiplin di sekolah mempunyai peranan dan tanggungjawab yang lebih besar dalam usaha mengawal disiplin pelajar.
Kalau kita sedar, sebenarnya lebih 90% masa pelajar di sekolah adalah di dalam kelas. Oleh itu peranan yang lebih besar sepatutnya terletak kepada guru-guru mata pelajaran di dalam kelas kerana merekalah yang amat hampir dengan pelajar pada kebanyakan masa pelajar itu di sekolah. Sekiranya guru mata pelajaran melaksanakan peranan mereka sebagai guru disiplin di samping melaksanakan tugas P & P di kelas, dirasakan sebahagian besar masalah disiplin pelajar khususnya yang dilakukan di dalam kelas dapat dikawal dan diatasi. Guru mata pelajaran sudah sepatutnya dapat menegur kesalahan-kesalahan disiplin yang dilakukan oleh pelajar di kelas seperti membuat bising, tatacara berpakaian, bergaduh, merosakkan harta benda, mengganggu proses P & P dan sebagainya. Kalau semua guru khususnya guru mata pelajaran berfungsi dengan betul sebagai guru disiplin di kelas, sudah seharusnya masalah disiplin pada keseluruhannya dapat dikekang bersama.
Wahai guru-guru sekelian, laksanakanlah tugas dan tanggungjawab anda semua sebagai seorang guru disiplin seperti yang disebutkan dalan Pekeliling IKhtisas agar kita sama-sama dapat memastikan masalah disiplin boleh diatasi. Sesungguhnya DISIPLIN ITU KUNCI KEJAYAAN.


0 Responses