11:22:00 AM
|
by Minda Laksamana
Mengikut Surat Pekeling Ikhtisas(SPI) yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pelajaran seperti pada SPI Bil. 8/1968, SPI Bil. 9/1975, SPI Bil. 10/2001 ada menyebutkan bahawa tugas dan tanggungjawab guru dalam pengawalan disiplin di sekolah. Berdasarkan kandungan dari SPI Bil. 10/2001 itu, jelas dinyatakan pada tajuknya Semua Guru adalah Guru Disiplin. Sudah semestinya satu-satu pekeliling yang dikeluarkan mempunyai tujuan tertentu dan kita sebagai penjawat awam atau lebih khusus lagi sebagai seorang guru mempunyai tanggungjawab untuk memastikan arahan pada pekeliling tersebut dipatuhi.
Dalam keadaan sebenarnya di sekolah ketika ini, dengan kesibukan kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita sebagai seorang guru, di mana kedudukan dan peranan kita sebagai guru disiplin? Beberapa persoalan yang kita perlu jawab sendiri untuk menentukan peranan kita sebenarnya.
Adakah kita sedar bahawa sebagai seorang guru kita berperanan sebagai guru disiplin?
Adakah kita tahu jenis-jenis kesalahan disiplin?
Adakah kita sentiasa menegur pelajar yang melalkukan kesalahan disiplin yang ringan? yang berat?
Adakah kita melaporkan kepada Ketua Guru Disiplin atau pihak pentadbir sekiranya dapat mengesan pelajar yang membuat kesalahan disiplin?
dan berbagai persoalan lagi tentang disiplin.
Adalah dirasakan sekiranya semua guru benar-benar berperanan sebagai seorang guru disiplin seperti yang termaktub dalam SPI, masalah salah laku disiplin pelajar-pelajar kita akan dapat dikawal sepenuhnya dan langsung tidak memberi peluang kepada pelajar kita melakukan salahlaku disiplin. Kita telah sedar sesungguhnya 'Disiplin Itu Kunci Kejayaan', oleh itu sudah semestinya kita dapat berperanan dalam satu pasukan bagi memastikan faktor disiplin itu dapat meningkatkan prestasi akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar kita.
Ayuhlah kita bergerak bersama ke arah yang lebih baik, positif dan mencapai sesuatu yang luar biasa.
11:45:00 AM
|
by Minda Laksamana
Pada penghujung Januari dan sepanjang bulan Februari, sekolah-sekolah telah mula sibuk dengan berbagai program Sukan dan Permainan. Kebanyakan di sekolah menengah, Kejohanan Olahraga Tahunan biasanya di adakan selewat-lewatnya penghujung bulan Februari. Pelbagai aktiviti samada aktiviti dalam kategori sukan untuk semua atau sukan prestasi tinggi mula dilaksanakan seperti Sukantara, Merentas Desa, Kejohanan Olahraga, pertandingan beberapa jenis permainan dan sebagainya.
Apa yang penting dalam melaksanakan aktiviti tersebut, keselamatan pelajar menjadi keutamaan agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini dan menyebabkan niat asal untuk memberi peluang kepada semua pelajar terlibat dengan aktiviti Sukan dan Permainan dipertikaikan. Prosedur dan langkah-langkah keselamatan sememangnya selalu dititikberatkan disamping melaksanakan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Berbalik kepada sukan, sekarang ini sekolah-sekolah seperti terkejar-kejar dengan jadual padat yang disusun kerana perlu melaksanakan sukan khususnya olahraga seboleh-bolehnya sebelum Kejohanan Olahraga peringkat daerah dan negeri. Kadangkala ada setengah sekolah hanya berpeluang untuk membuat latihan 1-2 minggu sahaja untuk rumah pasukan bersedia sebelum terpaksa melaksanakan acara sukantara (seminggu), acara-acara sebelum sukan (seminggu) dan kejohanan olahraga sekolah (sebelum hujung bulan Februari) sebab kejohanan peringkat daerah pada minggu 1 atau 2 bulan Mac.
Berdasarkan fenomena ini adalah dirasakan pihak sekolah tidak dapat memilih dan menyediakan atlit olahraga untuk mewakili sekolah ke peringkat daerah. Ada kemungkinan pelajar-pelajar yang benar-benar berketrampilan tidak dapat dicungkil bakatnya dan mungkin tidak berpeluang mewakili sekolah. Kesannya pasukan daerah tidak dapat memilih atlit yang betul dan sudah semestinya pasukan negeri juga tidak dapat atlit seperi yang dikehendaki.
Kalau ini berterusan setiap tahun, sudah tentu boleh menjejaskan persiapan pasukan daerah atau negeri dalam kejohanan olahraga dan akhirnya sudah tentu negara juga tidak dapat melahirkan atlit yang benar-benar berketrampilan sehingga ke peringkat antarabangsa. Oleh itu apa usaha kita? Adakah kita masih lagi terus akur dengan fenomena seperti di atas atau perlu ada usaha-usaha lain atau memerlukan kajian yang dapat mengatasi masalah yang selalu dihadapi oleh sekolah diperingkat akar umbi lagi?
Majulah Sukan Untuk Negera. Bersama Bergerak Ke arah Merealisasikan Satu Pingat Emas Satu Daerah dalam Kejohanan Olahraga MSSM 2010.
3:48:00 PM
|
by Minda Laksamana
Persekolahan untuk sesi tahun 2010 baru 3 minggu berlalu, telah berlaku pelbagai program, aktiviti. Tidak terkecuali masalah yang selalu berbangkit iaitu masalah disiplin. Telah mula penyakit lama iaitu ponteng sekolah atau ponteng kelas di kalangan pelajar. Ada juga kes-kes yang melibatkan keselamatan dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum sekolah.
Telah kedengaran kes pelajar bergaduh, berjudi, pergaduhan melibatkan senjata larangan, membawa senjata ke sekolah dan pelbagai kes lagi yang selalunya memeningkan pentadbiran sekolah khususnya Guru Disiplin. Walau pun dalam pekeliling ikhtisas ada menyebutkan semua guru adalah guru disiplin tetapi selalunya guru-guru yang menganggotai Unit Disiplin di sekolah mempunyai peranan dan tanggungjawab yang lebih besar dalam usaha mengawal disiplin pelajar.
Kalau kita sedar, sebenarnya lebih 90% masa pelajar di sekolah adalah di dalam kelas. Oleh itu peranan yang lebih besar sepatutnya terletak kepada guru-guru mata pelajaran di dalam kelas kerana merekalah yang amat hampir dengan pelajar pada kebanyakan masa pelajar itu di sekolah. Sekiranya guru mata pelajaran melaksanakan peranan mereka sebagai guru disiplin di samping melaksanakan tugas P & P di kelas, dirasakan sebahagian besar masalah disiplin pelajar khususnya yang dilakukan di dalam kelas dapat dikawal dan diatasi. Guru mata pelajaran sudah sepatutnya dapat menegur kesalahan-kesalahan disiplin yang dilakukan oleh pelajar di kelas seperti membuat bising, tatacara berpakaian, bergaduh, merosakkan harta benda, mengganggu proses P & P dan sebagainya. Kalau semua guru khususnya guru mata pelajaran berfungsi dengan betul sebagai guru disiplin di kelas, sudah seharusnya masalah disiplin pada keseluruhannya dapat dikekang bersama.
Wahai guru-guru sekelian, laksanakanlah tugas dan tanggungjawab anda semua sebagai seorang guru disiplin seperti yang disebutkan dalan Pekeliling IKhtisas agar kita sama-sama dapat memastikan masalah disiplin boleh diatasi. Sesungguhnya DISIPLIN ITU KUNCI KEJAYAAN.